ANTARA warga asing yang ditahan ketika serbuan di pusat beli belah dan kenyataan dimuat naik restoran (gambar kecil). FOTO ihsan Jabatan Imigresen
ANTARA warga asing yang ditahan ketika serbuan di pusat beli belah dan kenyataan dimuat naik restoran (gambar kecil). FOTO ihsan Jabatan Imigresen
Mohd Hanafis Abd Haris


Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membidas kenyataan restoran makanan di pusat beli belah di sini, yang cuba menyalahkan pihak berkuasa selepas beberapa pekerjanya ditahan dalam serbuan, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) restoran terbabit tidak menunjukkan situasi sebenar operasi penguatkuasaan yang dijalankan di premis mereka, Jumaat lalu.

Beliau berkata, dalam kenyataan itu pihak restoran cuba menyalahkan pihak berkuasa atas kesalahan mereka sendiri.

“Serbuan terbabit dijalankan JIM bersama beberapa agensi lain selepas pihaknya menerima aduan orang awam mendakwa beberapa premis di pusat beli belah itu banyak mengambil pekerja asing sebagai penyedia dan jurujual makanan,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di restoran itu pihaknya menahan seorang warganegara Malaysia dan 28 orang pekerja warga asing atas pelbagai kesalahan.

“Kesemua warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Mereka juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh sah dan kesalahan dibawah peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Imigresen tidak seharusnya dipersalahkan kerana menjalankan tugas yang dipertanggungjawab dan diamanahkan berdasarkan undang-undang.

“Pihak majikan seharusnya matang dan tahu bahawa mereka melakukan kesalahan dan bersedia menerima akibat dari keputusan mereka.

“Oleh demikikan, Jabatan Imigresen membidas kenyataan pihak pengurusan restoran terbabit yang membuat kenyataan melulu, tidak bertanggungjawab dan menyalahkan pihak penguatkuasa undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sabtu lalu, restoran itu memuat naik kenyataan di FB, mendakwa pekerja mereka dilayan seperti pendatang haram dan ‘penjenayah’ selepas pihak berkuasa melakukan serbuan.

Pihak pengurusan restoran mendakwa kesemua pekerja mereka diambil bekerja secara sah dan mempunyai permit.

Mereka juga turut meminta pelanggan bersabar kerana perkhidmatan dijangka tergendala.

Serbuan terhadap restoran berkenaan adalah sebahagian daripada operasi khas yang dijalankan serentak di seluruh negara untuk mengesan pendatang asing tanpa izin.

Seramai 1,284 pendatang asing tanpa izin ditahan JIM hasil serbuan ke atas 329 premis di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 7:00 PM