ANGGOTA imigresen memeriksa PATI yang ditahan ketika Op Ikrar dan Op Sapu di Kepala Batas dan Pekan Jitra, semalam.
ANGGOTA imigresen memeriksa PATI yang ditahan ketika Op Ikrar dan Op Sapu di Kepala Batas dan Pekan Jitra, semalam.
Nordiana Shafiee


Jitra: Pelbagai gelagat pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dilihat apabila anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kedah menyerbu rumah kongsi di dua tapak pembinaan dalam Op Ikrar dan Op Sapu, dekat sini, awal pagi semalam.

Ketika pemeriksaan di sekitar kawasan rumah kongsi itu, ada antara PATI ditemui bersembunyi dalam almari dan juga di celah timbunan batang paip.

Serbuan jam 1 pagi yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali bersama 52 anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Kedah dibantu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) itu menjalankan pemeriksaan ke atas 188 warga asing di Kepala Batas dan Pekan Jitra.

Mustafar berkata, hasil pemeriksaan mendapati 89 PATI terdiri 56 warga Indonesia, 23 warga Myanmar, sembilan warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

“Serbuan dimulakan di rumah kongsi tapak pembinaan di Kepala Batas membabitkan 39 warga asing diperiksa sebelum 36 daripadanya ditahan.

“Mereka terdiri daripada 24 lelaki termasuk seorang pemegang Kad Pemastautin Tetap (PR) dan enam wanita Indonesia, tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki bersama seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Myanmar berusia dari setahun hingga 62 tahun ditahan ketika masing-masing sedang nyenyak tidur.

“Di lokasi kedua di rumah kongsi tapak pembinaan di Pekan Jitra, 149 warga asing diperiksa dan 53 daripadanya terdiri 25 lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, 20 lelaki warga Myanmar, enam lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan berusia antara 20 hingga 57 tahun ditahan,” katanya.

Mustafar berkata, sebahagian besar PATI yang diberkas melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan melanggar syarat pas diberikan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Menurutnya, operasi itu bukan saja membabitkan tangkapan warga asing yang melakukan kesalahan, tetapi juga majikan yang masih menggaji pekerja asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

Katanya, semua PATI yang ditahan dalam dua operasi itu akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 3:55 AM