TERTUDUH dibawa keluar mahkamah sebaik dijatuhi hukuman, semalam.
TERTUDUH dibawa keluar mahkamah sebaik dijatuhi hukuman, semalam.
Nur Saliawati Salberi


Melaka: Padah menawarkan kad pengenalan pemastautin tetap yang tidak wujud, wanita warga Filipina dipenjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu ke atas Iyam Datu Matli, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa bersama-sama seorang lagi tertuduh, mempedaya seorang lelaki warga Indonesia dengan menawarkan kad pengenalan pemastautin tetap yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM3,000.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh tertuduh di tempat letak kereta Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, jam 5.30 petang pada 3 September 2015.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebatan dan denda jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraf Mohamed Tahir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan mempunyai lapan anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 20 bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Mac 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 6:26 AM