M Gunalan diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
M Gunalan diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.
Salman Hamat


PENGANGGUR berusia 40 tahun dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka Tengah, hari ini.

Tertuduh M Gunalan, mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis selepas faham pertuduhan dikenakan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh. 

Mengikut pertuduhan, Gunalan yang menyamar sebagai anggota polis, cuba menggunakan kuasa diperuntukan bagi jawatan itu di belakang pejabat polis Kompleks Mahkamah Melaka, Ayer Keroh, 9.40 pagi, 2 November lalu.

Atas perbuatan itu Gunalan, didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes tertuduh mengaku dirinya sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan kehadirannya untuk melakukan pemeriksaan terhadap anggota PDRM bertugas di Kompleks Mahkamah Melaka.

Namun, semakan kad pengenalan tertuduh dilakukan seorang anggota PDRM bertugas mendapati tiada sebarang nombor polis tertera pada dokumen itu.

Malah Gunalan yang gagal mengemukakan kad kuasa polis ketika diminta berbuat demikian mendakwa ia tertinggal di Kuala Lumpur.

Tertuduh juga memaksa seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) membuat semakan dan pengesahan berhubung butiran dirinya dengan pegawai di Bukit Aman.

Bagaimanapun hasil semakan mendapati tertuduh pernah dijatuhi hukuman penjara selama 20 bulan mengikut siasatan 506 Kanun Keseksaan pada tahun 2015.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira jenayah dilakukan adalah serius.

Manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ke atasnya diringankan dengan memberi alasan dia perlu menjaga ibu dan ayah, selain tidak bekerja.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua belah pihak Mohd Firdaus, kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 November 2017 @ 2:16 PM