Nur Saliawati Salberi


PADAH memiliki kad pengenalan palsu dan menggunakannya sejak lima tahun lalu, wanita warga Filipina dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Nazrin Ali Rahim, menjatuhkan hukuman itu ke atas Maimunah Sakaran Sarau, 42, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki kad pengenalan palsu atas nama Normilyn Amad.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri, di Ayer Keroh, pada 12 tengah hari, 27 Februari 2019.

WANITA warga Filipina, Sakaran Sarau, 42, (tengah) diiringi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu serta dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad
WANITA warga Filipina, Sakaran Sarau, 42, (tengah) diiringi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan palsu serta dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad

Prosiding pendakwaan yang dijalankan Pegawai Pendakwa JPN Melaka, Mohd Nasrom Yusof, memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai bukan sahaja pengajaran kepada tertuduh malah individu di luar sana selain perlu dirujuk kepada Jabatan Imigresen sejurus hukuman selesai bagi proses pengusiran keluar.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan dikenakan selain meminta untuk dihantar pulang ke negara asal untuk bertemu anaknya.

Selepas mendengar hujah kedua-kedua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan dari tarikh tangkap iaitu pada 27 Februari.

Terdahulu, berdasarkan fakta kes, semakan yang dibuat oleh JPN mendapati nombor kad pengenalan yang digunakan tertuduh milik wanita lain dan semakan kedua-dua cap jari tertuduh juga tidak sepadan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 1:09 PM