MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersalaman dengan  pasukan MALBATT 850-5  sebelum menaiki pesawat di Pangkalan Udara Subang, semalam.
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bersalaman dengan pasukan MALBATT 850-5 sebelum menaiki pesawat di Pangkalan Udara Subang, semalam.
Siraj Mohd Zaini


Subang: Kementerian Pertahanan akan memantau lebih dekat krisis pelarian Rohingya bagi mengelak mereka menjadi sasaran ekstremis termasuk Daish.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya mengarahkan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor bagi mencari kaedah terbaik membantu etnik itu.

Menurut beliau, selain aspek kemanusiaan, pelarian tidak terbela itu dikhuatiri akan menjadi sasaran Daish sekiranya tiada tindakan.

“Jika kita tidak membela, saya bimbang mereka jadi sasaran kumpulan ekstremis.

“Tumpuan diberikan kepada pelarian ini kerana pihak tidak bertanggungjawab akan mengambil kesempatan untuk mendekati mereka,” katanya pada sidang media selepas majlis penghantaran Kumpulan Pertama Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) 850-5, di sini, semalam.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Sri Zulkiple Kassim, Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Anuwi Hassan.

Seramai 215 anggota dan pegawai MALBATT 850-5 diterbangkan dari Pangkalan Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Lubnan, jam 5 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 7:05 AM