ANGGOTA RAJD menunjukkan taktik serta prosedur terkini pemusnahan bom buatan sendiri (C-IED).
ANGGOTA RAJD menunjukkan taktik serta prosedur terkini pemusnahan bom buatan sendiri (C-IED).
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Memusnahkan bom buatan sendiri, membina halangan dan pembinaan medan.

Itu antara cabaran dilalui 48 pegawai dan anggota Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang sedang melaksanakan operasi keamanan di bawah misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di selatan Lubnan.

RAJD antara kor terbabit dalam Malaysian Battalion (MALBATT) 850-5 selain Unit Infantri.

Ketua Elemen Jurutera MALBATT 850-5 Mejar Zuhairee Ariffin Assan berkata, Kor RAJD memainkan peranan penting dalam misi pengaman di negara berkenaan.

“Pelbagai tugasan dipertanggungjawabkan kepada RAJD bagi memastikan kelangsungan hidup pasukan MALBATT untuk beroperasi secara bersendirian di kawasan operasi.

“Selain itu, pasukan RAJD perlu memastikan bekalan asas seperti elektrik dan air dapat dibekalkan dengan sempurna dan tidak terputus bekalan di kawasan operasi,” katanya.

Zuhairee berkata, anggota RAJD turut berpeluang bekerjasama dengan tentera dari negara lain sekali gus menimba pengalaman berharga.

“Anggota RAJD secara tidak langsung dapat menimba pengalaman, teknik, taktik serta prosedur terkini dalam pemusnahan bom buatan sendiri (C-IED) daripada tentera asing menerusi kursus dan latihan dianjurkan pihak United Nations (UN),” katanya.

Sementara itu, Juruteknik Elektrik MALBATT 850-5 Lans Koperal Shahrul Hafizi Harun berkata, cabaran utama dilalui anggota RAJD di kawasan operasi adalah untuk melaksanakan tugas di dalam persekitaran yang serba baru dan berurusan dengan penduduk tempatan.

“Anggota RAJD juga perlu cepat belajar perkara baru yang kebanyakannya tidak ada di Malaysia.

“Saya bersyukur kerana dipilih menyertai MALBATT 850-5 di Lubnan ini kerana terlalu banyak perkara baru dipelajari di sini,” katanya.

CABARAN utama  dilalui  anggota RAJD adalah persekitaran  serba mencabar.
CABARAN utama dilalui anggota RAJD adalah persekitaran serba mencabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 5:33 AM