IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
IHSAN Bomba dan Penyelamat Malaysia
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI berusia 25 tahun maut dipanah petir ketika memancing di Tasik Taman Metropolitan Batu Muda, Kuala Lumpur, kira-kira 6 petang Sabtu.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Zamani Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.29 petang.

Katanya, enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Gombak Selatan dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Kami dimaklumkan lelaki lemas selepas terjatuh ke dalam tasik akibat dipanah petir ketika memancing di tasik berkenaan.

"Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya berusia lingkungan 20-an sedang memancing di tepi tasik berkenaan sebelum dia disambar petir.

"Rakan mangsa sempat menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam tasik sebelum berenang semula ke tebing dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Zamani berkata, pihaknya mengambil kira-kira 20 minit untuk mencari mangsa yang lemas.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:37 AM