LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian jeti runtuh di Pulau Anak Tikus, Langkawi.
LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai kejadian jeti runtuh di Pulau Anak Tikus, Langkawi.
Hamzah Osman


JUMLAH sebenar mangsa tercedera dalam kejadian jeti runtuh di Pulau Anak Tikus, Langkawi, hari ini adalah seramai 12 orang termasuk seorang parah.

Difahamkan semua mangsa adalah penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang tiba di pulau itu untuk membuat kajian berkaitan batu-batan.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, semua mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Langkawi untuk menerima rawatan.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malasia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, berkata keseluruhan mangsa adalah 40 orang membabitkan lima pensyarah dan 35 penuntut berusia di antara 20 dan 25 tahun.

“Hanya 12 orang yang cedera termasuk seorang parah, manakala selebihnya tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati mangsa terbabit adalah penuntut UMK,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Zamani berkata, kejadian berlaku di Pulau Anak Tikus iaitu kira-kira lima batu nautika dari jeti Kilim iaitu lokasi mangsa yang cedera diserahkan kepada bomba oleh agensi penyelamat termasuk bot pelancong.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan seorang mangsa parah manakala sembilan cedera dalam kejadian runtuhan jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi, hari ini.

Berita berkaitan

'10 cedera jeti runtuh'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 9:36 PM