KEADAAN jeti di Pulau Anak Tikus yang runtuh. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN jeti di Pulau Anak Tikus yang runtuh. FOTO ihsan Bomba
Hamzah Osman

SEPULUH cedera termasuk seorang mangsa parah dalam kejadian runtuhan jeti di Pulau Anak Tikus, Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, jeti yang digunakan pelancong untuk meninjau keindahan pulau itu dilaporkan runtuh.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malasia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.53 tengah hari.

"Sejurus itu, lapan anggota bersama dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.

"Pulau Anak Tikus letaknya kira-kira lima batu nautika dari Jeti Kilim iaitu tempat pasukan bomba menerima mangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zamani berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Jeti Kilim oleh agensi penyelamat dan bot pelancong.

"Difahamkan keseluruhannya terdapat 40 mangsa yang juga penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, sembilan mangsa dilaporkan cedera dan seorang parah di bahagian pinggang dihantar ke Jeti Kilim untuk menerima rawatan awal," katanya.

Beliau berkata, operasi menyelamat turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Langkawi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 5:19 PM