KETUA Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berlari membawa obor Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
KETUA Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan berlari membawa obor Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Noor Atiqah Sulaiman


BERBAKI kira-kira seminggu lagi menjelang Sukan SEA ke-29, Larian Obor Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (Larian Obor KL2017) kini tiba di Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Larian berkenaan sebelum ini turut diadakan di beberapa daerah dan negeri seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah, Sarawak, Perlis dan Kedah.

Terdahulu, Larian Obor KL2017 dimulakan di Dataran Gemilang pada pada 7.30 pagi apabila obor berkenaan dibawa menaiki belon udara panas oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Balan Mohan.

Loga kemudian membawa obor berkenaan turun dan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa untuk acara larian.

Ali kemudiannya bersama ketua-ketua setiausaha kementerian dan pegawai-pegawai kanan kerajaan diiringi pelari sokongan berlari membawa obor sejauh 1.2 kilometer (km) menuju ke Wisma Tani.

Antara orang kenamaan yang tidak melepaskan peluang membawa obor ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Siregar Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subromaniam dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Selain orang kenamaan, beberapa orang awam turut dipilih untuk menyertai larian berkenaan yang secara tidak langsung menunjukkan semangat kesukanan dan tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap temasya sukan dwi tahunan berkenaan.

Kesemua peserta yang menyertai larian berkenaan berlari sejauh 7.7 km di beberapa hentian ikonik seperti Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Masjid Putra dan Bangunan Perdana Putra sebelum berakhir di Menara Kementerian Belia dan Sukan.

Sukan SEA ke-29 akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini, manakala edisi kesembilan Sukan Para ASEAN diadakan dari 17 hingga 23 September.

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah Sukan Sea adalah pada 16 tahun lalu.

Selain Kuala Lumpur, Putrajaya turut menjadi tumpuan KL2017 menerusi penganjuran beberapa acara sukan antaranya, polo, renang dan triathon.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Ogos 2017 @ 10:56 AM