Adnan (tiga kanan) bersama Haslinda (dua dari kiri). FOTO HM/NURSYAHIRAH MARZUKI
Adnan (tiga kanan) bersama Haslinda (dua dari kiri). FOTO HM/NURSYAHIRAH MARZUKI
Nursyahirah Marzuki


WILAYAH Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai lokasi penganjuran Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan berkata, pihaknya termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) sudah melakukan pelbagai persiapan dalam menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku sepanjang temasya sukan itu berlangsung.

"Persiapan sudah lama dimulakan dan satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi memantau serta mengawal selia keadaan sepanjang berlangsungnya KL2017.

"Kita juga ada jentera yang digerakkan bagi memastikan tahap keselamatan pelbagai pihak termasuk orang awam sentiasa terkawal dan dijaga bagi mengelakkan sebarang perkara berlaku," katanya selepas merasmikan program Jualan Buah Rock Melon Dari Ladang di Taman Wetland di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Floria Sdn Bhd Haslinda Khalid.

Selain Kuala Lumpur, Putrajaya turut menjadi tumpuan KL2017 menerusi penganjuran beberapa acara sukan termasuk, polo, renang dan triathon.

Bukit Jalil akan menjadi gelanggang terbesar KL2017 yang berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos ini.

Adnan berkata, jawatankuasa yang ditubuhkan itu akan memantau termasuk situasi kecemasan seperti banjir, jerebu atau bencana alam dan mereka juga akan melakukan tindakan susulan dengan segera.

"Bagaimanapun, kita berharap KL2017 akan berjalan lancar dan Kuala Lumpur serta Putrajaya menjadi lokasi terbaik temasya sukan ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, warga kota perlu turut bergiat dalam aktiviti pertanian dengan bercucuk tanam di kawasan kediaman masing-masing yang mampu menjadi sumber pendapatan tambahan kepada mereka.

"Pendekatan yang diambil Floria Sdn Bhd ini adalah satu usaha yang baik dan perlu dijadikan contoh terutama kepada masyarakat setempat.

"Aktiviti tanaman ini boleh boleh digerakkan bersama komuniti sekitar kawasan perumahan dengan menanam pelbagai tanaman yang boleh dijaga dengan mudah.

"Usaha ini secara tidak langsung menggalakkan warga kota terutama dari kalangan yang berpendapatan rendah memperoleh pendapatan tambahan atau ditanam untuk kegunaan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2017 @ 3:01 PM