Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainol Mohd Isa, membawa obor ketika Larian Obor KL2017 membabitkan kakitangan MAHB dan penduduk Sepang di KLIA, hari ini. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Pengurus Besar Kanan MAHB, Zainol Mohd Isa, membawa obor ketika Larian Obor KL2017 membabitkan kakitangan MAHB dan penduduk Sepang di KLIA, hari ini. - Foto AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
Nursyahirah Marzuki


LEBIH 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan penduduk sekitar Sepang menyertai Larian Obor KL2017 sempena temasya Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan.

Larian Obor KL2017 yang berlangsung di seluruh negara sejak Mei lalu, meneruskan kesinambungan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, hari ini, dengan larian sejauh 8.4 kilometer.

MAHB sebagai Penaja Emas KL2017 yang juga dikenali sebagai 'Rakan Penyambut Delegasi KL 2017' akan mengalu-alukan kedatangan hampir 7,000 atlet dan pegawai 10 negara ASEAN ke Malaysia.

Pengurus Besar Kanan MAHB Zainol Mohd Isa berkata, pihaknya berbangga turut menyertai dalam larian obor di KLIA sebagai tanda sokongan kepada temasya berkenaan.

"Hari ini, 527 kakitangan MAHB menyertai Larian Obor KL2017 dan ia mencipta sejarah baru bagi kami sebagai kakitangan yang juga rakyat Malaysia.

"Kita berbangga berkhidmat kepada negara terutama untuk acara gemilang kali ini, malah peranan kami sebagai antara penaja lebih bermakna kerana tahun ini MAHB menyambut Jubli Perak," katanya dalam kenyataan di Sepang, hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan.

Pada majlis itu, Obor KL2017 diserahkan kepada kepada Zainol sebagai gimik perasmian Larian Obor KL2017 di KLIA yang bermula 8 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2017 @ 10:55 AM