Nurul Huda Kosnon


TELEKOM Malaysia (TM) komited memeriahkan Sukan SEA 2017 (KL2017) dengan menarik pembabitan seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai peraduan 'count & win' bagi membolehkan mereka memenangi kereta.

Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli berkata, menerusi peraduan itu, peserta diminta untuk mengira jumlah harimau seperti yang ditetapkan TM.

“Peraduan ini sudah pun berlangsung sejak 1 Ogos sehingga 30 September ini.

“Orang ramai boleh mengira harimau itu dengan melayari laman web TM iaitu tm.com.my/kl2017contest,” katanya.

TM yang juga Penaja Platinum KL2017 turut mengalu-alukan pembabitan orang ramai untuk sama-sama memakai jersi disediakan agensi itu.

“Marilah ramai-ramai memeriahkan acara ini dengan memakai jersi Team Malaysia beserta logo TM yang boleh didapati di mana-mana TM Point berdekatan anda,” katanya ketika ditemui pada program Larian Obor KL 2017 di Menara TM, hari ini.

Pada program itu, Obor KL2017 diserahkan kepada Ketua Pegawai eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Shazalli Ramly sebagai gimik perasmian Larian Obor KL2017 di Menara TM yang bermula 9.30 pagi.

Turut serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Bazlan Osman dan Naib Presiden Eksekutif TM Enterprise, Wan Ahmad Kamal Wan Halim.

Lebih 400 kakitangan TM menyertai Larian Obor KL2017 sempena temasya Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kesembilan.

Bekas atlet negara termasuk Tan Tiat Huat, Murigan Ramasamy, Mohd Sharrulhaizy Abd Rahman, Teo Poo Sia, Teo Tay Wah, Kaharudin Samsudin dan Rosli Ab Rahman turut diberi penghormatan untuk menyertai Larian Obor KL2017.

GELAGAT kakitangan TM bersama maskot Rimau ketika Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Menara TM. FOTO Asyraf Hamzah
GELAGAT kakitangan TM bersama maskot Rimau ketika Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Menara TM. FOTO Asyraf Hamzah

Menurut Izlyn, TM turut diberi kepercayaan untuk menjaga 15 rangkaian YouTube yang mana dua rangkaian akan ditayangkan terus secara langsung manakala 13 lagi secara video atas permintaan atau ‘video on demand’ (VOD).

"Rangkaian YouTube ini sangat penting kerana ia akan memaparkan beberapa perkara termasuk amanat wira negara, video Team Malaysia dan lagu Gemuruh Suara yang juga lagu tema rasmi KL2017 pada 12 Ogos nanti,” katanya.

Katanya, program ini diadakan di Menara TM sebagai kelainan berbanding sebelum ini yang mana ia membabitkan keseluruhan warga kerja di ibu pejabat TM.

"Pada Sukan Sea 2017 nanti Team Malaysia akan menjadi pasukan sorak rasmi atlet negara.

"Mereka ini sudah menjalani latihan dan kini hanya menantikan ketibaan Sukan Sea 2017," katanya.

Larian Obor adalah acara menjelang temasya KL2017 bagi meningkatkan motivasi dan semangat rakyat kepada kontinjen negara.

KL2017 berlangsung sehingga 30 Ogos manakala Sukan Para ASEAN pula akan diadakan dari 17 hingga 23 September 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 4:16 PM
SHAZALLI (tiga kanan) menerima obor KL2017 daripada Bazlan (tiga kiri) ketika Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Menara TM. Turut hadir, Izlyn (dua kanan). FOTO Asyraf Hamzah
SHAZALLI (tiga kanan) menerima obor KL2017 daripada Bazlan (tiga kiri) ketika Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Menara TM. Turut hadir, Izlyn (dua kanan). FOTO Asyraf Hamzah