Amir Abd Hamid


LIMA RATUS pelari termasuk 400 warga kerja syarikat pembekal tenaga elektrik bersepadu terbesar negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB), hari ini menyertai program Larian Obor Kuala Lumpur 2017 (KL 2017).

Program itu sempena temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang akan berlangsung 16 hingga 30 Ogos dan Para ASEAN ke-9 pada 17 hingga 23 September ini.

Larian obor Laluan 2 Lembah Pantai-Seputeh itu bermula kira-kira 9 pagi selepas majlis penyerahan obor disempurnakan Ketua Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Yang Dipertua Kelab Kilat Kebangsaan TNB Fazil Ibrahim sambil disaksikan Rimau maskot Sukan SEA KL2017 di ibu pejabat Dataran TNB.

“Sebagai Rakan Tenaga Rasmi KL2017, TNB akan memastikan slogan ‘Better Brighter’ dan amanat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada TNB untuk ‘keep the lights on’ selari dengan misi kami menjadikan organisasi TNB kebanggaan negara.

“Ayuh kita bangkit bersama dan mendoakan kejayaan kontinjen Malaysia dalam temasya Sukan SEA ke-29 serta Sukan PARA ASEAN ke-9 atau KL201 ini,” kata Fazil yang juga Ketua Pegawai Maklumat TNB ketika berucap sebelum larian obor bermula.

Penjaga gol hoki kebangsaan, S Kumar yang juga kakitangan TNB diberi penghormatan untuk membawa obor KL2017 pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Ogos 2017 @ 10:53 AM
KUALA LUMPUR 07 AUGUST 2017. Pengerusi UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berlari membawa obor KL2017 ketika menyertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Dataran Vibrant. NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR 07 AUGUST 2017. Pengerusi UMNO Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berlari membawa obor KL2017 ketika menyertai Larian Obor Kuala Lumpur 2017 di Dataran Vibrant. NSTP/ASYRAF HAMZAH