VETERAN ATM, Shorkawi Mat Doa, 64, bersorak selepas insentif diumumkan Perdana Menteri. FOTO Aizuddin Saad
VETERAN ATM, Shorkawi Mat Doa, 64, bersorak selepas insentif diumumkan Perdana Menteri. FOTO Aizuddin Saad
Idris Musa


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat lima pengumuman penting kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Perhimpunan Veteran ATM dan Pelancaran Tabung Pahlawan 2017, di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines, Seri Kembangan, hari ini.

Pengumuman itu membabitkan inisiatif Bantuan Bakti Negara (BBN), Skim Anuiti Veteran (SAVe), pencen hilang upaya bagi veteran ATM yang tidak mendapat pencen perkhidmatan, insentif veteran kelainan upaya Tabung Pahlawan dan penambahan kuota ibadat haji daripada 100 orang pada tahun sebelumnya kepada 400 orang pada tahun ini.

Selain itu, kerajaan memberikan peruntukan istimewa sejumlah RM5 juta untuk Tabung Pahlawan.

Najib berkata, pada asasnya syarat penerima BBN adalah berdasarkan kriteria penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) iaitu mereka yang berada bawah kelompok B40.

Menurutnya, berdasarkan senarai penerima BR1M, RM1,200 akan diberikan kepada mereka.

"Bagi tujuan ini, 66,000 veteran ATM tidak berpencen dijangka mendapat faedah sebagai penerima BBN.

"Manakala kepada veteran ATM tidak berpencen yang bukan penerima BR1M pula, mereka akan menerima RM600, dengan syarat sudah berumur 60 tahun ke atas. Untuk ini, 10,959 veteran tidak berpencen akan mendapat faedah daripada inisiatif BBN," katanya ketika berucap pada program itu.

Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Tabung Pahlawan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Persatuan Veteran ATM, Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Beliau berkata, bagi inisiatif SAVe, ia tertakluk kepada anggota ATM yang sedang berkhidmat.

Katanya, inisiatif ini membolehkan anggota ATM tetap mendapat inisiatif walaupun anggota terbabit berhasrat untuk berhenti awal daripada perkhidmatan.

"Tujuan kerajaan melancarkan skim SAVe ini adalah untuk memberi pendapatan secara bulanan seumur hidup kepada bakal veteran tidak berpencen seperti mana veteran yang mendapat pencen bulanan

"Dengan terlaksananya skim SAVe, caruman itu akan sentiasa ada di dalam simpanan akaun dan memberi manfaat bulanan kepada mereka.

"Ia juga boleh diserahkan kepada waris yang layak apabila veteran terbabit meninggal dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2017 @ 8:46 PM