Datuk Sharuddin Omar pada Sidang Media Isu Penjualan Boustead Plantations (anak Syarikat LTAT) kepada pihak swasta di Pejabat Presiden PVATM, Wisma Pahlawan, Sultan Sulaiman. FOTO ASWADI ALIAS.
Datuk Sharuddin Omar pada Sidang Media Isu Penjualan Boustead Plantations (anak Syarikat LTAT) kepada pihak swasta di Pejabat Presiden PVATM, Wisma Pahlawan, Sultan Sulaiman. FOTO ASWADI ALIAS.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Isu pencen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang lebih rendah berbanding pesara perkhidmatan awam lain bagai tidak berkesudahan selagi penyelerasan pencen itu tidak dilaksanakan kerajaan.

Presiden Persatuan Veteran ATM (PVATM), Datuk Sharuddin Omar berkata, lebih memberi tekanan apabila Pemberian Khas Kepada Pesara (PKKP) sebanyak 20 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan akan berakhir pada Disember tahun ini.

Katanya, sekiranya pelarasan pencen tidak dilaksanakan dan pemberian skim berkenaan pula tidak diteruskan pada tahun hadapan akan memberi impak besar kepada pesara terbabit.

"Anggota tentera menerima pencen 10 peratus lebih rendah berbanding pesara perkhidmatan awam lain disebabkan tempoh perkhidmatan kurang 25 tahun tiga bulan. Ini kerana memang tempoh perkhidmatan tentera ditetapkan selama 21 tahun.

"Veteran ATM sudah lama menderita dengan kadar pencen yang rendah itu, tambah pula dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat ketika ini menambah lagi beban serta penderitaan veteran," katanya dalam sidang media di Wisma Pahlawan di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata, jika skim PKKP tidak diteruskan akan memberi tekanan kepada pesara ATM kerana pendapatan mereka akan berkurangan.

Dalam pada itu, Sharuddin menggesa kerajaan melaksanakan pelarasan pencen kepada veteran ATM khusus yang bersara sebelum 2013 menerusi Belanjawan 2024.

"Perkara ini sudah diperjuangkan PVATM sejak 10 tahun lalu. Perdana Menteri juga sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk membuat semakan gaji penjawat awam serta penyelarsan pencen pada tahun ini.

"Tidak semua pesara tentera menuntut pelarasan pencen itu. Jumlah Veteran yang terbabit dalam pelarasan hanya seramai 78,546 orang (59.13 peratus) daripada jumlah keseluruhan 134,682 pesara ATM.

"Jika kita berasaskan kepada jumlah pencen bulanan yang diterima, seramai 73,339 orang atau 93.4 peratus veteran berada dalam kategori B40. Situasi ini akan berterusan jika langkah penambahbaikan tidak diambil," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan dilaporkan membawa kertas penyelarasan pencen ATM khusus bagi anggota yang bersara pada 2013 dan sebelumnya untuk perhatian Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, ia berikutan wujud kejanggalan dalam struktur pencen bagi golongan itu selepas penyelarasan gaji pada 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2023 @ 5:00 PM