Mohd Anwar bersama sebahagian veteran tentera yang menerima sumbangan selepas terjejas akibat banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Mohd Anwar bersama sebahagian veteran tentera yang menerima sumbangan selepas terjejas akibat banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


PERSATUAN Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) memperuntukkan RM100,000 kepada 322 veteran yang terjejas banjir tahun lalu.

Presiden PVATM Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata, sumbangan itu hasil kutipan Tabung Pahlawan dan bertujuan untuk meringankan beban penerimanya.

“Tabung Pahlawan adalah hasil kutipan derma daripada orang ramai, jadi dengan pemberian kepada veteran ATM hari ini, kita sudah menyelesaikan amanah berkenaan.

“Pada majlis hari ini, kita berikan kepada 211 mangsa banjir di Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.

“Baki berikutnya akan disampaikan di Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang 2 mewakili daerah berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada veteran ATM di Sinaran Resort, Tumpat.

Pada perkembangan lain, Mohd Anwar berkata, pihaknya sedang memperincikan cadangan untuk merapatkan jurang pencen antara veteran yang bersara awal.

Katanya, pihaknya mahu mencari kaedah terbaik supaya veteran yang berhenti awal dan berpencen tidak rasa dipinggirkan.

“Ia merupakan permohonan setiap akar umbi dan kita cuba sampaikan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk penilaian.

“Berkaitan kuota haji yang dinaikkan kepada 400 untuk veteran ATM, kami ucapkan terima kasih kepada PM (Najib),” katanya yang meminta ahli seluruh negara supaya memperkukuhkan imej dan martabat untuk menyumbang kepada masyarakat.

Sementara itu, penerima bantuan, Omar Osman, 63, berkata, sumbangan itu tanda veteran tentera sepertinya tidak dilupakan walaupun sudah 18 tahun bergelar pesara.

“Saya harap keprihatinan terhadap kami berpanjangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:54 PM