Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Seramai 100,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang belum berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dimohon membuat pendaftaran bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan disediakan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, setakat ini seramai 211,924 veteran ATM yang sudah berdaftar.

"Namun jumlah sebenar yang berada di luar adalah lebih 300,000. dan lebih kurang 100,000 veteran lagi belum mendaftar dengan JHEV.

"Ada juga kemungkinan anak atau ahli keluarga mereka ini juga tidak tahu bapa atau datuknya adalah veteran ATM.

"Jika mendaftar mereka akan dapat pelbagai kemudahan dari segi kesihatan dan sebagainya yang disediakan kementerian dan kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Pusat Perkhidmatan Setempat (OSC) JHEV ATM di Menara TH Perdana, di sini, hari ini.

DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.
DATUK Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Hadir sama, Panglima ATM, Tan Sri Mohd Affendi Buang, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Kementerian Pertahanan, Dr Anos Mahmud dan Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Ikmal berkata, veteran ATM ini dibahagikan kepada dua iaitu yang berpencen dan tidak berpencen yang seramai 104,760 mendapat pencen manakala 82,031 lagi tidak berpencen.

"Selain itu, seramai 25,133 veteran ATM berpencen yang sudah meninggal dunia, dan wang pencen itu diterima balu dan ahli keluarganya," katanya.

Mengulas mengenai OSC, beliau berkata, OSC adalah inisiatif meningkatkan penyampaian perkhidmatan sedia ada di JHEV bagi menzahirkan perkhidmatan yang menyeluruh, cepat dan tepat.

"Ia mula beroperasi secara rasmi pada 2 Januari lalu di aras bawah Menara TH Perdana sebelum dirasmikan hari ini.

"Penubuhan OSC ini memudahkan urusan veteran ATM yang merangkumi perkhidmatan permohonan, semakan, bantuan kebajikan dan faedah persaraan," katanya.

Katanya, kemudahan perubatan pula merangkumi permohonan, semakan tuntutan rawatan dan alat perubatan seperti hemodialisis, alat ortopedik dan implan, alat bantuan pendengaran, kanta mata, pembelian ubat dan tuntutan perjalanan ke hospital.

"Kementerian juga bercadang untuk mewujudkan Mobil OSC di seluruh negara bagi menyampaikan perkhidmatan dan menjejaki veteran yang belum berdaftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 1:04 PM