kakitangan Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang menunjukkan kari kepala ikan yang menjadi pilihan pelanggan.
kakitangan Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang menunjukkan kari kepala ikan yang menjadi pilihan pelanggan.
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: “Pengiktirafan ini menjadi kebanggaan buat seluruh keluarga,” kata pengusaha Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) Jalan Penang, di sini, apabila terpilih menduduki tempat kesembilan daripada 50 makanan paling sedap di dunia.

Abdul Kader Zainul Abidin berkata, pemilihan RNKLC oleh The World Streets Food Congress 2017 di Manila, Filipina pada 31 Mei hingga 4 Jun lalu cukup mengejutkan sama sekali.

Beliau berkata, jika sebelum ini pelbagai dugaan dan tamparan melanda termasuk restoran pernah ditutup kerana faktor kebersihan, ia sedikitpun tidak melemahkan semangat RNKLC untuk memperbaiki segala kelemahan.

Katanya, segalanya terbukti apabila RNKLC yang beroperasi di lorong kecil sejak dibuka pada 1930 di Jalan Penang, berjaya membuka mata dunia.

“Kini usia RNKLC sudah mencecah 87 tahun dan ia terus kekal hingga ke hari ini dengan keenakan kari kepala ikan, ayam goreng masala dan udang sambal yang mengekalkan resipi turun-menurun keluarga.

“Pengiktirafan ini cukup membanggakan kami sekeluarga dan sudah menjadi tanggungjawab kami untuk terus menjaga kualiti makanan termasuk kebersihan.

“Keselesaan pelanggan keutamaan RNKLC dan perhargaan ini ingin diberikan kepada Tourism Malaysia, kerajaan negeri, pihak media cetak dan elektronik, blogger dan sebagainya,” katanya ketika ditemui, semalam.

Abdul Kader berkata, dia bersyukur kepada Allah SWT kerana pelanggan masih mempercayai RNKLC dan terus dikunjungi pelanggan tempatan, luar negara serta selebriti terkenal tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 5:56 AM