Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Sebelum ini saya hanya lihat video tular di luar negara saja tak sangka di Pulau Pinang pun ada, memang teruja lihat robot pelayan menghantar pesanan."

Itu reaksi pelanggan Restoran Kayu Nasi Kandar Original Penang, Bukit Jambul di sini, yang menggunakan khidmat robot pelayan bagi menghantar makanan dan minuman.

Pelanggan, S Pathmanathan berkata, dia teruja apabila pesanan minuman teh tarik kegemarannya dihantar robot berbanding kebiasaannya oleh pelayan restoran.

"Bukan sahaja minuman, makanan yang dipesan turut dihantar menggunakan robot berkenaan.

"Saya lihat robot pelayan ini mampu menghantar puluhan gelas minuman pada satu-satu masa dan sudah tentu ia lebih memudahkan mereka bekerja," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Seorang lagi pelanggan, Datuk Abdul Rahim Isahak berkata, penggunaan robot pelayan itu sesuai digunakan bagi mengatasi kekangan pekerja yang dihadapi kebanyakan premis nasi kandar.

Katanya, selain itu ia juga boleh mengurangkan kontak sentuhan antara pelayan dan pelanggan dalam mengekang penularan Covid-19.

"Saya memang selalu datang ke sini, namun hari ini teruja lihat ada robot yang melayan pesanan. Keseluruhannya amat memuaskan dan mungkin restoran lain juga dapat ambil inisiatif yang sama," katanya.

PELANGGAN di Restoran Kayu Nasi Kandar Original Penang, Bukit Jambul teruja apabila pesanan minuman mereka dihantar robot pelayan. FOTO Zuhainy Zulkiffli
PELANGGAN di Restoran Kayu Nasi Kandar Original Penang, Bukit Jambul teruja apabila pesanan minuman mereka dihantar robot pelayan. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Sementara itu, Pengurus restoran, Mohamed Shahjahan, 53, berkata, premis itu kini mempunyai empat robot pelayan yang berharga kira-kira RM45,000 setiap satu.

Katanya, premis berkenaan juga antara yang terpaksa mengurangkan bilangan pekerja iaitu daripada 50 kepada 25 orang sahaja berikutan pandemik Covid-19 dan sejak menggunakan robot pelayan, dia mendapat maklum balas positif daripada pelanggan.

"Robot pelayan ini juga turut digunakan di dua cawangan restoran kami di Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu. Ia berupaya membawa pesanan sebanyak 30 gelas minuman dipesan pelanggan pada satu-satu masa dan setakat ini amat membantu dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja yang kami hadapi.

"Baterinya akan dicaj penuh selama empat jam dan ia berupaya 'bekerja' selama 12 jam," katanya ketika ditemui.

Tinjauan Harian Metro di restoran berkenaan mendapati, robot berkenaan menjadi perhatian pengunjung dan ada yang sengaja memesan minuman beberapa kali bagi mencuba perkhidmatan itu.

Pekerja hanya perlu memasukkan nombor meja pada paparan muka robot berkenaan, dan ia akan terus membawa pesanan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:39 PM