ANGGOTA imigresen memeriksa kawasan penyembelihan ayam di premis yang diserbu.
ANGGOTA imigresen memeriksa kawasan penyembelihan ayam di premis yang diserbu.
Hadzlihady Hassan

Georgetown: Jijik dan kotor. Itu dilakukan pekerja kedai runcit warga Bangladesh apabila menjadikan kawasan dapur premis mereka sebagai tempat penyembelihan ayam yang kemudian dimasak dan dijual di restoran bersebelahan di Jalan Penang, di sini.

Perbuatan jijik mereka itu terbongkar apabila sepasukan anggota Jabatan Imigresen Pulau Pinang (JIMPP) menyerbu dua premis terbabit jam 1.30 tengah hari, semalam.

Ketika serbuan di kedai runcit, ada 20 ayam hidup dengan pisau yang digunakan untuk sembelih serta kesan darah di sinki yang diubah suai sebagai tempat memproses ayam.

Ayam siap disembelih dan diproses dibawa ke restoran bersebelahan kedai runcit sebelum dimasak serta dijual kepada pelanggan warga Bangladesh.

Bagaimanapun, beberapa pelanggan menikmati makanan di restoran terbabit tergamam dan tidak sempat melarikan diri apabila melihat anggota JIMPP menyerbu premis berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, dalam serbuan jam 11 pagi, pihaknya menyerbu tujuh lokasi sekitar bandar ini.

Menurutnya, 31 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Thailand dan Vietnam berusia 20 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan yang tertumpu di restoran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 12:14 PM