SAHUBAR membaca notis kebenaran membuka semula premis oleh Kementerian Kesihatan di Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang. FOTO Danial Saad
SAHUBAR membaca notis kebenaran membuka semula premis oleh Kementerian Kesihatan di Restoran Nasi Kandar Line Clear, Jalan Penang. FOTO Danial Saad
Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Restoran Nasi Kandar Line Clear (RNKLC) di Jalan Penang dibenarkan beroperasi semula selepas notis penutupan ditarik balik Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut, hari ini.

Notis penarikan penutupan premis dibuat pada 3.15 petang oleh Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran U32, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Mohd Azalan Mohd Saad dan restoran itu akan beroperasi semula esok.

Terdahulu, operasi pembersihan premis dimulakan sejak Isnin lalu oleh pengusaha RNKLC, Sahubar Ali Mohd Hanibah selepas diarahkan Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menutup RNKLC kerana gagal mematuhi tahap kebersihan ketika diperiksa.

RNKLC dikenakan tindakan penutupan premis selama dua minggu dan ekoran kejadian itu tindakan pembersihan dan penambahbaikan dibuat sehingga hari ini.

Pada 10 pagi, Sahubar Ali pergi Jabatan Kesihatan Daerah Timur Laut sebelum satu pemeriksaan semula dilakukan oleh lima pegawai dan diperakui bahawa RNKLC benar-benar bersih.

Sahubar Ali melahirkan rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana RNKLC dapat beroperasi semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:32 PM