KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Lebuhraya MEX.
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Lebuhraya MEX.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang mendirikan rumah tangga setahun lalu maut selepas dirempuh kenderaan pacuan empat roda (4WD) dalam kejadian di Lebuhraya Maju (MEX) selepas Plaza Tol Salak Selatan menghala Putrajaya, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, motosikal dinaiki Muhammad Jabrullah Yahya, 27, dan isterinya Nur E’ezati Md Sofri, 25, yang dalam perjalanan ke Putrajaya tiba-tiba dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux sebelum motosikal mereka diseret sejauh kira-kira 100 meter.

Seorang rakan pasangan itu yang memberi komen di laman Twitternya dan dikenali sebagai Aishah berkata, Nur E’ezati sedang mengandung anak sulung pasangan berkenaan.

“Kedua-dua jenazah dibawa ke Kedah untuk disemadikan. Allahuakbar dekat hospital hari ini (semalam) mesti suram... moga Allah tempatkan kalian di syurgaNya.

“Post mortem dah buat, arwah kak Zati tengah mengandungkan anak sulung. Mereka kahwin September tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kedua-dua mangsa adalah kakitangan Hospital KPJ Tawakal.

“Kejadian berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang wanita berusia 41 tahun melanggar bahagian belakang motosikal mangsa di lorong kecemasan.

“Mangsa tercampak ke penghadang jalan kiri lebuh raya, manakala motosikal yang dinaiki diseret 100 meter dari lokasi impak pertama,” katanya.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa lelaki mengalami kecederaan parah di dada manakala mangsa wanita mengalami kecederaan di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

Menurutnya, seorang saksi yang menunggang motosikal ternampak pacuan empat roda itu dipandu di lorong kecemasan sebelum melanggar motosikal yang dinaiki mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2017 @ 5:57 AM