MOTOSIKAL merempuh kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan kerana mengalami kerosakan.
MOTOSIKAL merempuh kenderaan yang berhenti di laluan kecemasan kerana mengalami kerosakan.

Oleh Asmah Rusman

[email protected]

 

Kuala Lumpur: Dua maut selepas motosikal dinaiki mereka merempuh kenderaan pacuan empat roda yang berhenti di laluan kecemasan kerana mengalami kerosakan di Kilometer 4.1 Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, penunggang motosikal, Mohd Bukhary Ishak, 24, dari Setapak dan rakannya, Nor Diannatasya Jefry Ariffin Saw, 16, pelajar sekolah di Wangsa Maju maut di lokasi kejadian.

Menurut Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan, akibat perlanggaran itu, pembonceng motosikal iaitu Nor Diannatasya tercampak di lorong tengah sebelum dirempuh sebuah Perodua Alza yang tidak sempat mengelak.

"Mangsa diseret kenderaan itu sejauh 50 meter ke arah pusat bandar dan disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala," katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 1:48 PM