HAMZAH (dua dari kiri) bersama warga SSM mengibarkan Jalur Gemilang  pada pelancaran kempen #IAMSSM dan Saya Anak Malaysia, semalam.
HAMZAH (dua dari kiri) bersama warga SSM mengibarkan Jalur Gemilang pada pelancaran kempen #IAMSSM dan Saya Anak Malaysia, semalam.
Garret Dawum

Kuala Lumpur: Syarikat dan perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu proaktif dalam menunjukkan patriotik kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-59 tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata semua lapisan masyarakat juga wajar memberi perhatian kepada aktiviti itu kerana amalan berkenaan dapat menyemai kecintaan dan penghormatan terhadap Jalur Gemilang yang menjadi ciri penting dalam pembinaan negara.

“Tanpa kibaran Jalur Gemilang, sambutan itu pasti akan hilang serinya, tetapi kami tidak mengeluarkan arahan wajib dan semua itu adalah usaha ikhlas mereka sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Di peringkat SSM mengibarkan bendera kebangsaan adalah aktiviti penting pada bulan kemerdekaan sebagai tanda kebanggaan kita kepada negara tercinta ini,” katanya ketika ditemui selepas perasmian kempen #IAMSSM dan Saya Anak Malaysia di Menara SSM di sini, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dalam majlis itu, turut diedarkan 5,000 bendera kepada pengunjung di SSM sempena kempen yang berlangsung sehingga 30 September ini.

Menurut Zahrah, kempen itu dianjurkan dengan objektif mendidik, memberi kesedaran, memupuk dan memperkukuh semangat jati serta setia kepada negara.

“Inilah masanya untuk kita menunjukkan rasa patriotik kepada negara terutama menghargai jasa pejuang dan pemimpin negara yang mempertahankan kemerdekaan.

“Sempena kempen ini berlangsung, kami juga mengadakan pelbagai aktiviti dan utama adalah pertandingan video patriotik Saya Anak Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menghantar video berdurasi satu minit bertemakan patriotik dan berpeluang memperoleh wang tunai RM1,500 untuk tempat pertama.

“Naib juara akan menerima RM1,000 dan ketiga RM500. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 10 September ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 8:47 AM