Ahli Majlis Sepang, Fahrulrazi Zailan (dua dari kanan) bersama sekumpulan remaja bermotosikal membawa Jalur Gemilang menyertai Program Semarak Jalur Gemilang dengan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan di Taman Desa Pinggiran Putra hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Ahli Majlis Sepang, Fahrulrazi Zailan (dua dari kanan) bersama sekumpulan remaja bermotosikal membawa Jalur Gemilang menyertai Program Semarak Jalur Gemilang dengan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan di Taman Desa Pinggiran Putra hari ini. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Dengkil: Gabungkan dua aktiviti dalam satu masa. Itu antara pendekatan diambil penduduk Taman Desa Pinggiran Putra di sini, dengan mengedarkan 100 bungkusan bantuan makanan sambil mengibarkan Jalur Gemilang.

Idea Program Semarak Jalur Gemilang itu dicetuskan Jawatankuasa Perunding Penduduk (JPP) Zon Pinggiran Putra dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis Sepang disamping membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahli Majlis Sepang, Fahrulrazi Zailan berkata, program ini mempunyai kelainan kerana penduduk tidak perlu menaikkan bendera putih bagi mendapatkan bantuan tetapi ahli jawatankuasa taman dan sukarelawan datang menyampaikan sumbangan sambil mengibar Jalur Gemilang.

Menurutnya, pembawa Jalur Gemilang itu membabitkan golongan muda yang menaiki motosikal bagi mendedahkan mereka kepada semangat patriotik sempena Sambutan Kemerdekaan negara dan Hari Malaysia.

Katanya, pihaknya menyediakan 100 bakul makanan untuk disumbangkan kepada penduduk membabitkan ibu tunggal, golongan B40, individu mengalami masalah kesihatan, golongan cacat dan penduduk yang hilang punca pendapatan ketika berhadapan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Kami juga mengedarkan bendera kepada penduduk dan kanak-kanak bagi mewujudkan sangat patriotik untuk meraikan Hari Kemerdekaan ke 64 walaupun negara masih berhadapan pandemik covid-19," katanya.

Turut hadir dalam program itu semalam adalah Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan 4A, Desa Pinggiran Putra, Abd Aziz Amba.

Pelajar kolej, Muhammad Harith Raiyan Mohd Raziman, 18, berkata, dia teruja apabila dipilih menyertai konvoi yang julung kali disertainya.

"Walaupun tiada sambutan besar-besaran Hari Kemerdekaan diadakan di peringkat kebangsaan pada tahun ini, namun program ini sudah cukup memberikan semangat kepada dirinya.

"Pengalaman menyertai konvoi ini sangat menyeronokkan kerana penduduk memberikan reaksi positif dengan mengibarkan bendera dalam kawasan rumah masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 September 2021 @ 3:57 PM