Balai Polis Sungai Besi yang dihias dengan pemasangan Jalur Gemilang. FOTO ihsan PDRM
Balai Polis Sungai Besi yang dihias dengan pemasangan Jalur Gemilang. FOTO ihsan PDRM
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sibuk dengan tugasan sebagai petugas barisan hadapan memerangi pandemik Covid-19 tidak menghalang anggota Balai Polis Sungai Besi menzahirkan semangat patriotik melalui pemasangan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan.

Sebanyak 30 Jalur Gemilang dipasang sekitar balai polis berkenaan selain menampal pelekat tertera wajah Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di bahagian hadapan balai.

Inisiatif itu dilakukan Ketua Balai Polis Sungai Besi Inspektor Muhammad Sallehuddin Drahaman bersama 171 anggota sejak 10 Ogos lalu.

"Pemasangan Jalur Gemilang sekitar kawasan balai ini dilakukan oleh anggota sendiri manakala pemasangan pelekat pula dibuat dengan bantuan orang awam.

"Pemilihan wajah Perdana Menteri pertama digelar Bapa Kemerdekaan itu kerana mengagumi peribadi dan semangat perjuangannya," katanya kepada Harian Metro.

Muhammad Sallehuddin berkata, aktiviti itu juga didorong oleh Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar yang mahu semua balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menunjukkan semangat cintakan negara.

Katanya, Jalur Gemilang dan pelekat itu akan dipamerkan sepanjang kempen bulan kebangsaan.

Sempena bulan kemerdekaan ini, beliau berharap penduduk tempatan turut mengibarkan Jalur Gemilang untuk menunjukkan rasa cinta mereka kepada negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:27 PM