X

Klang: Tujuh pelajar lelaki termasuk dua beradik dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas dua pertuduhan iaitu berhimpun dan merusuh di hadapan sekolah di Jalan Pandamaran, 27 Julai lalu.

Bagaimanapun, semua remaja berkenaan tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama, lima tertuduh yang berusia 13 dan 14 tahun didakwa masih berada dalam suatu perhimpunan atau berkumpul yang menyalahi undang-undang dengan mengetahui sudah diperintahkan supaya bersurai.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa berada dalam rusuhan dan bertujuan mendatangkan kecederaan dengan menggunakan kekerasan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dua pertuduhan itu dilakukan di hadapan Sekolah Menengah Datuk’ Hamzah di Jalan Pandamaran di sini, pada jam 12.45 tengah hari, 27 Julai lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali memohon mahkamah menawarkan ikat jamin RM1,500 kepada setiap tertuduh namun peguam bela semua tertuduh Gerard Lazarus meminta jumlah itu diturunkan kepada RM700.

Nor Asma kemudiannya membenarkan permohonan Gerard dan menetapkan 8 September ini sebagai tarikh sebutan semula.

Ikat jamin semua tertuduh dibayar oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang negeri V Ganabatirau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2016 @ 9:53 AM
SEBAHAGIAN ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Datuk’ Hamzah hadir ke mahkamah  bagi mendengar perbicaraan, semalam.
SEBAHAGIAN ibu bapa pelajar Sekolah Menengah Datuk’ Hamzah hadir ke mahkamah bagi mendengar perbicaraan, semalam.