Kota Bharu: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan mencederakan isterinya dengan tangan, dua minggu lalu.

Tertuduh, Che Mohamad Izamli Che Isa, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap tuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mahkamah menetapkan 6 Mei untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencederakan mangsa berusia 35 tahun dengan tangan di sebuah rumah di Jalan Telipot, antara jam 7 hingga 8 malam, 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahrun Nizam Mohd Misan menawarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan syarat hanya isteri tertuduh dibenarkan menjadi penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2015 @ 10:48 AM