Orang ramai dan ibu bapa pelajar yang datang ke Mahkamah Majistret, Klang, hari ini, bagi mengikuti kes tujuh pelajar lelaki dua sekolah menghadapi tuduhan merusuh dan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang depan sebuah sekolah di Jalan Pandamaran pada 27 Julai lalu. - Foto ROSLIN MAT TAHIR

BERNAMA

Klang: Tujuh pelajar lelaki dari dua sekolah di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, bagi menghadapi tuduhan merusuh dan menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang di depan sebuah sekolah di Jalan Pandamaran di sini, pada 27 Julai lalu.

Kesemua pelajar berkenaan yang berumur 13 dan 14 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nor Asma Ahmad.

Prosiding berlangsung secara tertutup dengan mahkamah bersidang sebagai Mahkamah Kanak-Kanak.

Kesemua tujuh pelajar itu didakwa melakukan perbuatan itu di depan sebuah sekolah di Jalan Pandamaran di sini, kira-kira 12.45 tengah hari, 27 Julai lalu.

Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa menyertai perhimpunan menyalahi undang-undang meskipun diperintah bersurai dan pertuduhan kedua didakwa merusuh menggunakan kekerasan bagi tujuan mendatangkan kecederaan sesama mereka.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan manakala pertuduhan kedua mengikut Seksyen 147 kanun sama yang masing-masing membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam mewakili semua pelajar itu, Gerard Lazarus, berkata mahkamah menetapkan jaminan RM700 bagi setiap pelajar dan kes akan disebut semula pada 8 September.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 7:04 PM