Ampang: Dua wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas pertuduhan memperdagang seorang wanita warga Indonesia pada April tahun lalu.

Ong Su Ping Serene, 47, dan Sang Yoke Leng, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Unaizah Mohd.

Mereka didakwa memperdagang wanita berusia 32 tahun itu bagi tujuan eksploitasi dengan menggunakan kekerasan di sebuah rumah di Persiaran Pandan 7, Pandan Jaya, di sini, antara April 2014 sehingga 20 Disember 2014.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Ong diikat jamin RM8,000 manakala Sang dibenarkan ikat jamin RM10,000.

Kedua-dua mereka diwakili peguam S Preakas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, di sini, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil pekerja tanpa pas di tempat dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 55B(1) Akta Imigresen yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz.

Majistret Zulyana Zolkapli membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000.

Mahkamah menetapkan 30 Mac ini untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:26 AM