GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Petaling Jaya: Seorang anak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkelakuan kurang sopan dan mengugut ibunya, Selasa lalu.

Pembantu di pusat permainan kanak-kanak, Muhammad Zahir Mohd Zubir, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapha.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa berkelakuan kurang sopan terhadap Zalya Ibrahim, 46, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan di sebuah rumah di Kampung Lindungan di sini pada 6 petang, 19 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Ghazali Zulkifli mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kadar itu dikurangkan kerana dia baru sahaja mendapat pekerjaan.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pemandu bas kilang mengaku bersalah atas pertuduhan merosakkan palang pintu pagar pusat perniagaan, bulan lalu.

K Vimal, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Shahril Anuar.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 26 September depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang pintu pagar milik Zenith Corporate yang nilai kerugian sebanyak RM5,000, di Zenith Corporate Park, Kelana Jaya, di sini pada 11.15 pagi, 31 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mohd Ghazali mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kadar itu dikurangkan kerana dia adalah penanggung tunggal keluarga selain perlu menjaga ibu yang mempunyai penyakit jantung.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Shahril Anuar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 4:29 PM