Mohd Iskandar Ibrahim


Klang: Majikan kepada dua pengawal peribadi yang diugut dengan pistol dan dipukul kerana berpuasa bersama pembantunya, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Chung Chee Yang, 43, yang juga ahli perniagaan didakwa dengan lima pertuduhan manakala pembantunya, Choo Hin Voon, 43 didakwa dengan dua pertuduhan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, dengan ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah sambil mengacukan pistol ke arah mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa dengan dua pertuduhan bersubahat bersama Hin Voon dengan mengarahkannya mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam menggunakan rotan.

Oleh itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu bagi setiap pertuduhan.

Selain itu, tertuduh didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat yang disengajakan untuk melukakan perasaan keagamaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang jika sabit, boleh dihukum penjara selama setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Chee Yang juga didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam yang memperuntukkan hukuman penjara selama setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Hin Voon pula didakwa dengan dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di luar halaman rumah No 2A Lorong 9L, Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, 13 April lalu

Chee Yang (depan) dan pembantu peribadinya (belakang) diiringi pegawai polis untuk didakwa ke Mahkamah Majistret, Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Chee Yang (depan) dan pembantu peribadinya (belakang) diiringi pegawai polis untuk didakwa ke Mahkamah Majistret, Klang. FOTO Muhd Asyraf Sawal

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman dan Mohd Fakhrurazi Ahmad di hadapan Majistret P Sarulatha.

Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam, Jacky Loi dan Abdul Hakeem Aiman.

Terdahulu Ashyraf Ashy'ari memohon mahkamah mengena ikat jamin RM200,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Chee Yang dan RM100,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Hin Voon selain kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis.

Bagaimanapun peguam tertuduh merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan kerana kedua-duanya perlu menyara keluarga selain menjaga ibu bapa yang sakit.

Sarulatha bagaimanapun mengarahkan tertuduh pertama membayar RM50,000 untuk semua lima pertuduhan manakala tertuduh kedua dikenakan ikat jamin RM20,000.

Mahkamah menetapkan 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 12:28 PM