SETIAP bungkus gula-gula bintang  dijual dengan harga 50 sen.
SETIAP bungkus gula-gula bintang dijual dengan harga 50 sen.
Zulfa Mohamad


Tasek Gelugor: Pening, khayal dan kejang otot antara kesan dialami beberapa murid tahun satu hingga tiga sebuah sekolah rendah di sini, selepas mendakwa memakan gula-gula berbentuk bintang yang dibeli di luar sekolah, kelmarin.

Berikutan itu, ada murid yang dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tasek Gelugor sebelum dirujuk ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Seorang daripada murid berkenaan mendakwa dia rasa pening dan seperti khayal selepas memakan lapan biji gula-gula berkenaan yang dibeli rakannya di luar kawasan sekolah.

Berdasarkan penelitian, gula-gula berbentuk bintang berkenaan berwarna merah, jingga, kuning dan hijau dalam bungkusan tidak mempunyai jenama.

Ia dikatakan dijual di luar sekolah dengan harga 50 sen sepaket dan mencuri perhatian murid kerana berbentuk bintang serta berwarna warni, tetapi menyebabkan rasa pening jika dimakan dalam kuantiti banyak.

Sementara itu, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang S Muniamah berkata, setakat ini pihaknya belum menerima aduan berhubung penjualan gula-gula berkenaan.

“Saya pernah dengar kes gula-gula dadah sebelum ini tetapi di luar Pulau Pinang. Bagi negeri ini, saya belum menerima apa-apa aduan atau bukti berkaitan gula-gula mempunyai dadah seperti dinyatakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 9:21 AM