ANTARA remaja didakwa mengalami kesan buruk pada kesihatan selepas makan gula-gula terlarang.
ANTARA remaja didakwa mengalami kesan buruk pada kesihatan selepas makan gula-gula terlarang.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


KIMIA perangsang seks untuk lelaki mati pucuk dicampurkan dalam kandungan gula-gula untuk kanak-kanak hingga menyebabkan mangsa yang memakannya diserang ‘sawan’.

Lebih menakutkan apabila gula-gula buatan syarikat China ini dijual semurah 50 sen sebiji atau boleh dibeli 24 biji pada harga RM7 melalui laman jual beli dalam talian.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, kimia rangsangan seks tadalafil itu dikesan tercemar di dalam tiga produk gula-gula dengan jenama ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

Menurutnya, ada aduan diterima mendakwa remaja sekolah di Terengganu menjadi lemah dan tidak mampu bangun kesan tindak balas gula-gula itu.

“Secara saintifik, tadalafil lebih berbahaya berbanding sildenafil di dalam Viagra kerana boleh menyebabkan serangan jantung, strok, pendarahan otak, peningkatan tekanan darah, kehilangan pendengaran dan kehilangan penglihatan yang kadangkalanya kekal.

“Sildenafil, tadalafil dan verdanafil ubat yang digunakan khusus untuk rawatan erectile dysfunction (mati pucuk) yang hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh doktor atau ahli farmasi berlesen dengan preskripsi daripada seorang doktor,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati tiga produk gula-gula itu diimport tiga syarikat berbeza terletak di Alor Setar, Kedah; Chemor, Perak dan Cheras Selatan, Kuala Lumpur.

“Sebelum ini, sampel produk itu diambil oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) KKM untuk ujian makmal.

“Hasilnya mendapati ketiga-tiga produk itu dicemari racun berjadual tadalafil melebihi 2.8 miligram. Ia bukanlah gula-gula tenaga sebaliknya produk rangsangan seks haram,” katanya.

Menurutnya, kimia tadalafil sebelum ini kerap dicampurkan di dalam serbuk kopi pracampuran, serbuk teh o ais limau dan kapsul yang dijual pada harga melebihi RM5 setiap pakej.

Tinjauan mendapati produk berselindung di sebalik nama gula-gula tenaga ini mudah dibeli di laman jual beli dalam talian pada harga antara RM7 dan RM8.50 bagi peket berisi 24 biji.

Dalam kenyataan dikeluarkan kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pihaknya mengambil serius isu bahan terlarang seperti tular di media sosial.

Menurutnya, BKKM diarahkan untuk menjalankan pemantauan terhadap produk berkenaan.

ANGGOTA penguat kuasa menyita produk  beracun.
ANGGOTA penguat kuasa menyita produk beracun.

Katanya, hasil pemantauan terhadap produk berkenaan mendapati ia disahkan mengandungi racun berjadual dan dilarang penggunaannya dalam makanan mengikut Akta Makanan 1983.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham berkara, larangan pengimportan sudah dikeluarkan serta-merta dan KKM memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk berkenaan supaya menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan dalam talian.

Menurutnya, tindakan boleh dikenakan mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 6:30 AM