SUKARELAWAN mengedarkan risalah kepada penduduk Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri.
SUKARELAWAN mengedarkan risalah kepada penduduk Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri.
Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Mengecewakan apabila terdapat segelintir penduduk enggan membuka pintu rumah, malah ada yang memarahi dan menengking sukarelawan iM4U yang datang memberi ubat jentik-jentik percuma serta mengedarkan risalah wabak denggi.

Itu cabaran dihadapi dalam program pelancaran kempen ‘War On Dengue: Cleaning Up. Saving Lives’ dijalankan di Pangsapuri Sri Penara, Bandar Sri Permaisuri di sini, semalam anjuran iM4U dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, badan pengurusan bersama (JMB), persatuan penduduk dan kawasan rukun tetangga (KRT) pangsapuri terbabit.

Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam merangkap pegawai kesihatan, Pejabat Kesihatan Daerah Cheras Datin Dr Noriah Hajib, kawasan pangsapuri itu disenarai sebagai lokasi ‘panas’ kerana mencatatkan 22 kes wabak demam denggi sejak Januari lalu berbanding dua kes tahun lalu.

“Aktiviti hari ini (semalam) bertujuan memberi informasi dan maklumat wabak demam denggi, selain mengajar penduduk mengenai langkah pencegahan tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam rumah.

“Program ini bukan baru, sebaliknya kami sentiasa menjalankan kempen dan aktiviti bersama penduduk termasuk gotong-royong di kawasan disahkan berlakunya wabak demam denggi,” katanya ketika ditemui Metro Ahad selepas membuat tinjauan di kawasan pangsapuri terbabit.

Sementara itu, Pengerusi KRT Fasa A Pangsapuri Sri Penara Azman Husin berkata, kempen kesedaran wabak demam denggi dan pemusnahan lokasi pembiakan nyamuk aedes kepada penduduk sentiasa dijalankan di kawasan itu, malah pihaknya turut menganjurkan aktiviti gotong-royong.

“Meskipun sambutan daripada penduduk kurang menggalakkan, namun kami tetap berusaha untuk menyalurkan maklumat dan informasi secara berterusan kepada mereka memandangkan masalah pembiakan jentik-jentik ini sebenarnya bermula dari dalam rumah bukan di kawasan persekitaran pangsapuri,” katanya.

Bagaimanapun, Azman berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu untuk menyertai program berkenaan dan turut serta membersihkan kawasan pangsapuri.

Kempen ‘War On Dengue: Cleaning Up. Saving Lives’ adalah inisiatif iM4U dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama unit kokurikulum Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilancarkan serentak di 16 lokasi wabak demam denggi di seluruh negara.

Usaha itu turut disokong Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang membantu mendidik penduduk melaksanakan pengasingan sisa.

Ketua Pegawai Eksekutif iM4U Rudy Malik berkata, kempen itu tidak hanya terhad kepada meningkatkan kesedaran, tetapi juga untuk mendidik dan membekalkan masyarakat dengan kemahiran yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:08 AM