ABD Rahim (kiri) bertemu pegawai Pejabat Kesihatan Kuantan pada Program Gempur Aedes kawasan perumahan Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
ABD Rahim (kiri) bertemu pegawai Pejabat Kesihatan Kuantan pada Program Gempur Aedes kawasan perumahan Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

BEKAS air dalam bilik mandi dan cawan menyimpan pokok serai antara tempat jentik-jentik ditemui dalam rumah penduduk pada Program Gempur Aedes kawasan perumahan Sungai Isap, Kuantan, semalam.

Operasi empat jam itu membabitkan lima agensi penguatkuasa yang diketuai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) membabitkan lebih 100 pegawai yang membuat pemeriksaan disetiap rumah terpilih.

Pengerusi JawatankuasaKerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, operasi gempur aedes di Sungai Isap kali ini membabitkan 256 kediaman namun hanya 86 rumah sahaja diperiksa kerana selebihnya penghuni keluar bekerja.

Menurutnya, pihak PKD Kuantan mengeluarkan tujuh notis kediaman positif jentik-jentik aedes dan masing-masing dikenakan kompuan RM500 mengikut Seksyen 13 (2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975.

Katanya, pemeriksaan dari rumah ke rumah akan terus dilakukan selepas ini bagi memastikan penduduk perumahan Sungai Isap dapat menjaga kebersihan terutama tempat pembiakan jentik-jentik aedes yang penyumbang demam denggi.

“Sikap penduduk yang mengambil mudah terhadap kebersihan kawasan rumah mereka menjadi punca utama bertambahnya kes demam denggi di negeri ini yang kini berada di kedudukan pertama wabak berkenaan di negara ini.

“Saya yakin sekiranya masyarakat dapat mengamalkan sentiasa menjaga kebersihan wabak berkenaan tidak akan menular, kempen sepuluh minit membersih kawasan rumah setiap minggu perlu terus diamalkan,” katanya pada Program Gempur Aedes kawasan perumahan Sungai Isap di Dewan Mentiga, di Kuantan, semalam.

Katanya, sehingga semalam 22 kes demam denggi dicatat di Pahang dan walaupun namun tiada kematian, jumlah berkenaan dianggap membimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Februari 2020 @ 12:31 PM