Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Rafi Mamat


SERAMAI 15 penduduk Taman Perumahan Balok Pine, Kuantan, dikompaun RM7,500 kerana kediaman mereka dikesan menjadi sarang pembiakan jentik-jentik.

Tindakan tegas itu dilakukan Unit Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan selepas taman perumahan berkenaan dua kali diwartakan sebagai kawasan wabak demam denggi tahun ini.

Setiap penduduk masing-masing dikenakan kompaun RM500 bagi satu kes kerana memiliki jentik-jentik aedes dalam kawasan kediaman selepas pemeriksaan dilakukan pegawai Unit Vektor PKD.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balok Pine Asbollah Ibrahim berkata, tindakan itu diharap memberi kesedaran kepada penduduk supaya sentiasa menjaga kebersihan di kawasan kediaman masing-masing.

Katanya, sikap tidak mementingkan kebersihan segelintir penduduk menyebabkan taman perumahan itu dua kali diletakkan sebagai kawasan wabak demam denggi.

"Saya difahamkan, selepas beberapa kali nasihat diberikan kepada penduduk oleh pegawai Unit Vektor PKD supaya menjaga kebersihan, barulah tindakan tegas diambil terhadap mereka," katanya.

Asbollah berharap, tindakan tegas itu memberi pengajaran kepada penduduk Taman Perumahan Balok Pine yang dihuni kira-kira 1,000 orang membabitkan 261 kediaman.

Katanya, mereka akan terus mengadakan program gotong-royong membersihkan sampah di kawasan taman perumahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 11:43 AM