KAKITANGAN UKV JKAS DBKL menjalankan aktiviti pemantauan wabak ‘hotspot’ denggi. FOTO ihsan DBKL
KAKITANGAN UKV JKAS DBKL menjalankan aktiviti pemantauan wabak ‘hotspot’ denggi. FOTO ihsan DBKL
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Lokaliti kondominium Desa Putra di sini, mencatatkan sebanyak 25 kes demam denggi yang memasuki hari ke-74 wabak berkenaan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan terdapat 10 tempat pembiakan ditemui di kawasan terbabit.

"Unit Kawalan Vektor (UKV), Jabatan Kesihatan Dan Alam Sekitar (JKAS) menjalankan aktiviti pemantauan wabak 'hotspot' denggi dikenali sebagai Dengue Control And Surveillace (DCAS) bersama dengan Pejabat Kesihatan Parlimen di Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

"Tujuan aktiviti ini dijalankan adalah untuk menyelesaikan kes demam denggi yang berpanjangan.

"Hasil aktiviti itu mendapati lokaliti kondominium mencatatkan 25 kes demam denggi yang memasuki hari ke-74 wabak dengan 10 tempat pembiakan dijumpai di kawasan berkenaan," katanya.

Menurutnya, antara tempat pembiakan yang ditemui adalah seperti di bahagian bawah kompresor penyaman udara, di dalam pelapik pinggan mangkuk, di dalam kolam ikan yang tidak digunakan dan juga di bahagian penapis kolam.

"Selain itu, lokasi lain turut menyumbang kepada kenaikan kes demam denggi adalah di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai yang terdapat pembiakan di penghadang jalan, longkang dan di dalam pam tandas orang kurang upaya (OKU).

"Malah, tapak binaan turut diperiksa dan sudah ditutup sebelum ini berikutan penemuan pembiakan melampau di kawasan terbabit," katanya.

Menurutnya, aktiviti seumpama itu akan diteruskan di kawasan lain dari semasa ke semasa untuk memastikan wabak denggi dapat dicegah.

"Warga kota dinasihatkan supaya menjaga kebersihan rumah dengan memastikan penapis air, pelapik pinggan mangkuk dan pam tandas tiada pembiakan jentik-jentik nyamuk.

"Ambil masa seketika setiap hari untuk memeriksa sekeliling rumah daripada menjadi tempat pembiakan jentik-jentik nyamuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 2:00 PM