MAHDZIR (dua dari kanan) sambil diperhatikan Kamal Nasharuddin (kanan) beramah mesra bersama guru terpilih pada majlis pelancaran dan penyerahan sijil watikah kepada sekolah terpilih program SHINE@UNITEN.
MAHDZIR (dua dari kanan) sambil diperhatikan Kamal Nasharuddin (kanan) beramah mesra bersama guru terpilih pada majlis pelancaran dan penyerahan sijil watikah kepada sekolah terpilih program SHINE@UNITEN.
Oleh Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Proses pembelajaran semasa perlu meneroka pasaran global kerana kini tidak cukup sekadar menjalin hubungan dengan pemain industri di peringkat tempatan.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia keperluan penting bagi pelajar dan pendidik untuk berhubung dengan pihak industri dalam dunia yang semakin mencabar.

Beliau berkata, persaingan pasaran dan kehendak dunia baru sekarang memerlukan masyarakat yang berfikiran kritikal, serba boleh serta dapat mengadaptasi perkembangan semasa.

“Saya yakin aspirasi nasional ini boleh dicapai kerana matlamat itu sebahagian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

“Menyedari hal ini, Kementerian Pendidikan akan memulakan misi merombak sistem pendidikan dengan mengambil kira peningkatan standard pendidikan antarabangsa dan diperbaharui dengan aspirasi negara,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran Dalam Pendidikan serta melancarkan SHINE@UNITEN anjuran Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Canselor UNITEN Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Penyelidikan) UNITEN merangkap pengerusi persidangan serta Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran UNITEN Dr Thaharah Hilaluddin.

Persidangan dua hari bermula semalam dengan pembentangan 93 kertas kerja itu disertai 84 peserta dalam dan luar negara termasuk dari Australia, Jepun, Arab Saudi, Indonesia dan Thailand.

Mahdzir berkata, persidangan itu menjadi platform kepada pendidik untuk menerokai kemungkinan kemajuan baru dalam pengajaran khususnya di kampus pendidikan tinggi.

“Globalisasi memberi perubahan kepada teknologi dan gaya hidup khususnya sosial, politik dan ekonomi serta sektor pendidikan juga tidak terkecuali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2016 @ 9:55 AM