Muhyiddin melawat kios pameran semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah ke-54 di Seremban, semalam.
Muhyiddin melawat kios pameran semasa merasmikan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah ke-54 di Seremban, semalam.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Masalah moral dan keciciran akademik dalam kalangan pelajar sekolah antara isu perlu diberi perhatian serius semua warga pendidik.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kualiti pengajaran dan pembelajaran di sekolah warga pendidik mampu mengatasi masalah itu untuk jangka masa panjang.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, proses melengkapkan dan memperbaiki potensi serta ‘kemenjadian’ pelajar perlu dilakukan sepanjang masa di sekolah.

“Dalam konteks ini, aspek pengajaran dan pembelajaran serta pemantauan seharusnya menjadi perkara teras kepada setiap pemimpin sekolah.

“Jika tidak diberikan perhatian bersungguh-sungguh terhadap aspek kualiti pengajaran dan pembelajaran, masalah moral dan keciciran akademik tidak akan dapat diatasi dan secara tidak langsung boleh mencetuskan masalah dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Menengah ke-54 di sini, semalam.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof dan Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Muhamad Khailani Abdul Jalil.

Persidangan bertemakan ‘Kepemimpinan Pengetua Memacu Transformasi Pendidikan Negara’ itu berlangsung selama empat hari sejak kelmarin yang disertai 800 pengetua dari seluruh negara.

Muhyiddin berkata, proses globalisasi dalam bidang ekonomi dan perdagangan antarabangsa selain perkembangan sains, teknologi komunikasi serta maklumat mewujudkan persekitaran lebih mencabar.

“Modal insan yang dilahirkan sistem pendidikan perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah selain mampu meningkatkan kualiti hidup .

“Memenuhi tuntutan itu, kementerian merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu memacu Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020,” katanya.

“Ia termasuk aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, kurikulum dan pembangunan institusi,” katanya.

Menurut beliau, usaha memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotik turut diberi tumpuan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 April 2015 @ 10:21 AM