WARGA pendidik melafazkan ikrar yang diketuai  Dr Khair  pada Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di Dewan Canselor UMS di Kota Kinabalu.
WARGA pendidik melafazkan ikrar yang diketuai Dr Khair pada Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45 di Dewan Canselor UMS di Kota Kinabalu.
TOKOH Guru Kebangsaan 2016, Azizul Rahman Abdul Rahman (hadapan tiga dari kanan) bersama Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016, Datuk Dr Ahamad Sipon (empat dari kiri) bersama penerima yang lain.
TOKOH Guru Kebangsaan 2016, Azizul Rahman Abdul Rahman (hadapan tiga dari kanan) bersama Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2016, Datuk Dr Ahamad Sipon (empat dari kiri) bersama penerima yang lain.
DR Ahmad Zahid  bersama  Mahdzir  (tiga dari kiri), Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (empat dari kanan),  Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan Panchanathan (dua dari kiri) serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof (kanan) menyentuh bola kaca sebagai gimik perasmian Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45, 2016 di Dewan Canselor UMS di Kota Kinabalu.
DR Ahmad Zahid bersama Mahdzir (tiga dari kiri), Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman (empat dari kanan), Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan Panchanathan (dua dari kiri) serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof (kanan) menyentuh bola kaca sebagai gimik perasmian Majlis Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-45, 2016 di Dewan Canselor UMS di Kota Kinabalu.
Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Hari Guru yang disambut 16 Mei lalu melengkapkan lagi penghargaan, penghormatan dan kasih sayang melimpah untuk insan bekerjaya guru.

Majlis diadakan di sekolah, daerah dan peringkat kebangsaan bagi meraikan golongan pendidik yang menjadi tunjang kepada melahirkan insan yang mampu menjaga keharmonian, pembangunan dan masa depan negara.

Sambutan meriah setiap tahun ini bukanlah bermakna warga pendidik dahagakan penghargaan dan pujian, sebaliknya ingin membuktikan hubungan murid dengan guru bukan sekadar dalam ruang lingkup kelas pembelajaran, malah terus berkekalan dengan keberkatan dan kebaikan apabila hubungan itu didasari ilmu pengetahuan yang berguna.

Bukan itu saja, kerajaan sentiasa meletakkan peranan guru di tempat yang tinggi dan dizahirkan melalui penghargaan kepada guru seperti anugerah dan penghargaan Tokoh Guru Kebangsaan, Tokoh Kepimpinan Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Kepimpinan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Anugerah Cemerlang Guru Pendidikan Khas dan Anugerah Cemerlang Guru Kurang Upaya (OKU).

Sambutan bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa sangat bertepatan peranan pendidik yang berjaya mencipta suasana pembelajaran dan pengajaran (PnP), sekali gus membudayakan anak didik dengan amalan akhlak dan nilai murni untuk memartabatkan kedaulatan negara.

Tidak mengenepikan kepentingan supaya guru masa kini menikmati ganjaran selepas berdepan dengan cabaran mengajar pada era moden, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu kajian semula dijalankan terhadap skim perkhidmatan guru untuk kepentingan bersama.

Beliau yang berucap di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena pelancaran sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan Isnin lalu juga berkata, setiap perkara perlukan penambahbaikan dari masa ke semasa termasuk skim perkhidmatan guru bagi menghargai jasa dan sumbangan besar warga pendidik sebagai tunjang pembinaan negara bangsa.

Katanya, pujian dan pengiktirafan kepada guru melalui sambutan Hari Guru setiap tahun tidak memadai dalam menghargai sumbangan golongan pendidik.

“Guru pembela bangsa dan guru umpama matahari yang menyinari kegelapan... itu semua kata-kata mutiara dan ungkapan yang mesti diikuti dengan skim perkhidmatan lebih baik kepada semua warga pendidik,” katanya.

Turut mendukung cadangan itu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menyifatkan pemilihan tema tahun ini selaras dengan fokus Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam usaha melahirkan pelajar holistik dari sudut kemampanan ilmu, sekali gus membentuk warga negara yang bertunjangkan nilai etika dan kerohanian tinggi.

“Guru sebagai pembina negara bangsa perlu mewujudkan suasana perpaduan antara kaum, bangsa dan agama, menghasilkan murid yakin berkomunikasi dan saling bekerjasama. Ini cabaran besar dalam pendidikan abad ini.

“Pembelajaran abad ke-21 perlu lebih menjurus kepada pemikiran aras tinggi berbanding kemahiran asas supaya menghasilkan murid berupaya berfikir sendiri dan membuat perubahan,” katanya.

Menyokong peranan warga pendidik melalui tema yang diangkat pada tahun ini, Tokoh Guru Kebangsaan 2013 Wan Hamzah Wan Daud, 64, mengakui halangan dilaluinya sepanjang tempoh bergelar pendidik membawa banyak cabaran yang menaikkan semangat untuk membimbing anak muridnya.

“Usaha mengimbangkan perkembangan dan kemajuan dunia dalam aspek teknologi maklumat dan industri berteknologi tinggi dengan pembentukan rohaniah dan ketahanan diri perlu diberikan perhatian serius,” katanya.

Kejayaan beliau mentransformasikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (FELDA) Semenchu, Kota Tinggi, Johor sehingga dinobatkan sebagai Sekolah Harapan Negara amat membanggakan, sekali gus membuktikan bahawa profesion dipilihnya itu tepat.

“Sekolah itu terletak di kawasan FELDA dikelilingi masalah sosial yang agak serius dan peranan saya terpaksa dilakukan bermula daripada pelajar, pekerja sekolah dan guru,” katanya yang berasal dari Kampung Gaal, Pasir Puteh.

Sementara itu guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Ria, Tuaran, Kamisah Mohd Khamis berkata, pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan adalah pengiktirafan kepada warga pendidik dan pelajar di negeri ini.

“Sebagai contoh, Festival Hari Guru yang diadakan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan, memberi peluang guru dan pelajar sekolah di negeri ini mempamerkan bakat yang ada.

“Saya berharap program besar seperti ini lebih kerap dianjurkan,” katanya.

Mengenai harapan sempena Hari Guru, beliau berharap sokongan penuh sentiasa diberikan kepada guru di Sabah, kemudahan infrastruktur sekolah dipertingkatkan bagi memberi keselesaan kepada pelajar semasa menuntut ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2016 @ 5:30 AM