ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Kedatangan lapan sekeluarga ke pulau ini bagi memperoleh pengalaman menaiki kereta kabel berakhir tragedi apabila empat daripada mereka kini terlantar di Hospital Langkawi (HL) akibat cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang di Jalan Pantai Kok di sini, van yang dinaiki keluarga terbabit bertembung dengan sebuah Toyota Vios dinaiki empat sekeluarga warga Bangladesh mengakibatkan seorang penumpang kereta itu terbunuh.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Joynob Abedin, 32, penumpang depan yang juga isteri pemandu kereta Hasan Motiul, 39, yang kini masih belum sedarkan diri akibat kecederaan parah di kepala manakala dua anak mereka, Junairah, 10, dan Jumaimah, 6, juga dilaporkan menerima rawatan lanjut di HL.

Difahamkan, keempat-empat mangsa yang menaiki van termasuk pemandu Endar Halaman Siregar Jainal, 31, terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan parah di kepala.

Mangsa lain ialah Mohamad Dasuki Dayat, 45, yang luka di kepala dan patah kaki; Juriah Zakaria, 42, (luka di kepala) dan Nur Hasilah Hassan (luka di badan) turut dirawat di hospital sama.

Mohamad Dasuki berkata, kejadian berlaku ketika mereka lapan sekeluarga dalam perjalanan untuk menaiki kereta kabel di Gunung Machinchang.

“Kami sekeluarga dari Johor Bahru tiba di pulau ini sejak Rabu lalu untuk bercuti dan dijangka pulang esok (hari ini) tetapi tidak sangka ditimpa kecelakaan. Kejadian berlaku pantas di satu jalan lurus tetapi berbukit.

“Sepanjang bercuti, kami menyewa sebuah van untuk kemudahan bergerak ke lokasi menarik dan menyewa inap desa, tetapi semua itu terpaksa dilupakan buat masa ini,” katanya selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi Nanyan, semalam.

Juriah pula berkata, pada mulanya mereka merancang melancong ke pulau ini sempena cuti Tahun Baru Cina yang baru lalu tetapi dibatalkan kerana memikirkan waktu itu terlalu ramai pelancong di pulau ini.

“Saya sudah memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga di Johor Bahru dan masih buntu memikirkan bagaimana untuk pulang ke kampung apabila sebilangan daripada kami masih dirawat di hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Langkawi Asisten Superintendan Mahadhir Mohd Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dinaiki empat sekeluarga warga Bangladesh dari Pantai Kok menghala Kampung Kuala Teriang bertembung dengan van dinaiki lapan individu terbabit dari arah bertentangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2016 @ 5:17 AM