Murid perempuan yang maut dibawa keluar anggota bomba. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Murid perempuan yang maut dibawa keluar anggota bomba. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


Seremban: Murid perempuan berusia tujuh tahun maut, pemandu van sekolah berusia 30-an parah, tujuh murid cedera dan tiga sekeluarga patah tengkuk dalam kemalangan membabitkan van sekolah dan pacuan empat roda di Jalan Sendayan-Mantau, di sini, petang tadi.

Sumber polis berkata, dalam kejadian 3.15 petang itu, pacuan empat roda dinaiki tiga beranak yang dalam perjalanan ke Sendayan, di sini, hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik dan memasuki laluan bertentangan.

Katanya, pacuan empat roda berkenaan merempuh pula van sekolah dipandu pemandu terbabit yang ketika itu membawa lapan murid sebuah sekolah rendah antarabangsa di Sendayan, di sini.

"Akibat kemalangan itu, murid perempuan berusia tujuh tahun maut dan pemandu van sekolah berkenaan parah.

"Tujuh lagi murid yang cedera dibawa keluar dari van oleh orang awam yang menyaksikan kejadian," katanya.

Menurutnya, tiga sekeluarga yang menaiki pacuan empat roda patah tengkuk dan semua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban di sini untuk tindakan susulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 5:36 PM