FOTO Hamzah Osman
FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman

Langkawi: Wanita Bangladesh maut manakala sembilan lagi parah dalam kemalangan membabitkan kereta dan van di Jalan Pantai Kok, di sini, lewat petang.

Dalam kejadian 5.30 petang, Joynob Abedin, 32, dari Dhaka, Bangaladesh, dilaporkan mati dalam perjalanan ke Hospital Langkawi (HL).

Suami wanita terbabit yang juga pemandu kereta serta dua anak mereka yang belum dikenal pasti dilaporkan kritikal dan kini dirawat di HL.

Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yaakob Hassan, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.42 petang.

Menurutnya, dua jentera termasuk Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Langkawi bergegas ke lokasi.

"Jentera pertama tiba di tempat kejadian pada 6.07 petang dan mendapati kemalangan membabitkan kereta dinaiki empat rakyat Bangladesh manakala van dinaiki lapan warga tempatan,” katanya.

Yaakob berkata, enam warga tempatan termasuk tiga daripadanya wanita yang menaiki van turut dilaporkan parah manakala dua mangsa lelaki tidak cedera.

Katanya, kesemua mangsa dihantar ke HL untuk menerima rawatan lanjut.

"Empat belas anggota bomba terbabit dalam operasi itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 9:04 PM