MANGSA cedera  dibawa dengan hospital. FOTO Faizul Azlan Razak
MANGSA cedera dibawa dengan hospital. FOTO Faizul Azlan Razak
Helmy Abd Rahman dan Faizul Azlan Razak


DUA maut dan tiga parah selepas dua kenderaan dihempap pokok tumbang di Jalan Batu Rakit, Kuala Nerus, hari ini.

Insiden itu berlaku kira-kira 1 tengah hari tadi apabila pokok besar tiba-tiba tumbang ketika kedua-dua kenderaan iaitu van dinaiki tiga lelaki dan kereta dinaiki dua wanita melalui kawasan berkenaan.

Kejadian malang itu menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk dan mengorbankan pemandu van serta penumpang hadapan di tempat kejadian, manakala penumpang belakang parah di kepala.

Dua wanita yang menaiki kereta juga dilaporkan parah dan semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.03 tengah hari.

"Sejurus menerima panggilan, dua jentera dari Balai Bomba Kuala Nerus dan Balai Bomba Kuala Terengganu bersama 14 anggota bergegas ke lokasi.

"Bomba mengambil masa kira-kira sejam untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum diserahkan kepada ambulans untuk dikejarkan ke hospital.

"Malangnya, dua daripada mangsa iaitu pemandu dan penumpang van disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 4:36 PM