HAMZAH (tengah) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas daripada suspek di Taman Dagang, Ampang Jaya.
HAMZAH (tengah) menunjukkan ketulan mampat dipercayai ganja yang dirampas daripada suspek di Taman Dagang, Ampang Jaya.
Oleh Fardy Bungga

Ampang: Sepasang kekasih seolah-olah mencari nahas apabila menjalankan kegiatan mengedar dadah ganja kurang 100 meter dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Lelaki berusia 30 tahun dan teman wanitanya berusia 21 tahun itu bagaimanapun ditahan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ketika berada berhampiran Jalan Taman Dagang di sini, jam 10 malam kelmarin.

Suspek dikatakan sedang menunggu pelanggan di dalam kenderaan sebelum diserbu polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, kegiatan suspek berjaya dikesan hasil risikan polis sejak beberapa hari lalu.

Katanya, pemeriksaan polis menemui satu bungkusan mampat daun kering disyaki ganja di dalam kenderaan model Perodua Myvi dipandu suspek.

“Dadah berkenaan dipercayai cuba diedarkan kepada pembeli. Suspek lelaki terbabit mengaku bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta manakala rakan wanitanya itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Polis turut merampas bungkusan kecil pil Eramin dianggarkan bernilai RM3,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya pada sidang media di IPD Ampang Jaya, semalam.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 9:34 AM