Hamzah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Hamzah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas. FOTO Fardy Bungga
Fardy Bungga

Ampang: Suami isteri termasuk dua anak berusia 15 dan 17 tahun ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan pembungkusan dan pengedaran dadah di rumah mereka di Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.

Turut ditahan adik angkat suspek utama berusia 33 tahun yang dipercayai turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, hasil serbuan, pihaknya berjaya menemui dadah jenis heroin dan syabu dengan berat keseluruhan hampir satu kilogram bersama peralatan pembungkusan dadah.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui puluhan bungkusan kecil yang dipercayai sudah siap dibungkus untuk dijual kepada penagih dadah di sekitar Ampang.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM33,500 berdasarkan harga pasaran semasa dan semua suspek ditahan reman sehingga Isnin depan untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) akta yang sama," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 1:36 PM