KAKI judi yang ditahan AADK selepas didapati positif dadah.
KAKI judi yang ditahan AADK selepas didapati positif dadah.
Oleh Fardy Bungga

Ampang: Beri alasan ambil dadah bagi menghilangkan rasa mengantuk dan tidak tidur lebih dua hari. Itu pengakuan lima ‘hantu judi’ yang diberkas di sebuah premis judi komputer di sini.

Semua lelaki tempatan itu diberkas sepasukan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas serbuan dilakukan jam 11 malam kelmarin.

Kelima-lima penagih berusia 30-an itu didapati asyik bermain judi di sebuah pusat siber di Pandan Indah di sini, hasil risikan dilakukan AADK.

Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata, hasil ujian air kencing dilakukan terhadap lima suspek ditahan itu mendapati semua mereka positif mengambil dadah.

Katanya, semua kaki judi itu didapati positif dadah jenis ganja dan syabu.

“Suspek yang disoal siasat memberi alasan mengambil syabu bagi menghilangkan rasa mengantuk selain lebih fokus ketika berjudi.

“Malah, ada antara mereka boleh bertahan bermain judi lebih sehari tanpa tidur. Siasatan turut mendapati dua daripada suspek yang ditahan adalah penjawat awam,” katanya.

Menurutnya, tiga individu yang ditahan itu akan diambil tindakan mengikut 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

“Dua daripada mereka yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau dan melanggar pengawasan mengikut Seksyen 6(3) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, mereka yang melanggar syarat ini boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau sebat atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Katanya, pihak AADK memberi amaran tegas kepada individu yang masih di bawah pengawasan pihaknya supaya sentiasa mematuhi arahan yang diberikan dan tidak ingkar dengan arahan untuk melapor diri setiap bulan.

“Kami pohon kepada mereka (di bawah pengawasan AADK) supaya patuh kerana hasrat kerajaan adalah untuk membantu mereka pulih daripada ketagihan dadah,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2016 @ 8:52 AM